Isnin, 16 Januari 2012

Piramid, Sg.Nil dan Tempe

7 Jan 2012 (Sabtu)
Pagi ni sarapan cekodok pisang aje. Kedengaran sayup2 di luar rumah laungan pelbagai lagu dan irama daripada penjual2 bergerak yang berpagi2an mencari rezeki di sekitar perumahan Hayyul ‘Ashir ( Perumahan 10), tempat kami menyewa. Biasanya laungan mereka kedengaran dari jauh lagi, tapi sebutannya kurang jelas sebab tenggelam dalam nada dan iramanya. Kalau penjual susu segar dari ladang bunyinya ‘Leeeeb! Leeeeb!’..kalau jual kacang fol bunyinya ‘ Fooooolek! Fooooolek!’..Jika pembeli barangan terpakai lagunya ‘Beiyyek iyyek..! Sekali dengar macam tak tangkap maksudnya, tapi mungkin dari perkataan Baqiyyah(baki)..pastu kata ganda atau kata tambahan tu sengaja dicipta untuk menyedapkan lagu mereka mempromosikan bisnes masing2..itulah antara seni orang Arab apabila berniaga..di Jordan pun sering juga Mama dengar suara penjual bersahut2an mengiklankan barangan dengan cara tersendiri yang adakalanya membuatkan kita tersengih sendiri..kalau berjalan di deretan kedai bundle ( baju2 terpakai) lagilah rancak dan spontan saja mereka mencipta lagu..satu kenangan yang cukup menggamit rindu bila dah balik Malaysia nanti…
Petang selepas asar kami keluar berjalan sekitar Kaherah..destinasi utama nak ke maktabah Darus Salam(kedai buku). Maktabah ni memang jadi tumpuan pelajar Malaysia mencari buku2 rujukan. Seronok juga membelek2 buku pelbagai  topic..hampir 2 jam memilih, akhirnya kami meninggalkan maktabah dengan beberapa beg plastik penuh dengan buku..sohibul mahal bagi diskaun 25 – 50 persen. Alhamdulillah..banyak juga kami beli buku cerita kanak2, kesian kat anak2 asyik melangut je depan TV sebab dah takde bahan bacaan..
Dah alang2, kami singgah di EME,Abbasiyah ..saja nak melihat2 kot2 dapat berjumpa beberapa pegawai di sana yang juga kenalan kami.Selepas snap beberapa gambar di halaman EME, kami pun masuk ke dalam, bertanya kerani Arab di kaunter kalau2 ada pegawai yang bertugas pada waktu itu. Alhamdulillah sungguh bila dia kata Us.Zulkifli Din masih ada di pejabatnya. Baba memang ada beritahu beliau bahawa kami akan bercuti ke Mesir, tapi terlupa nak ambil nombor telefon. Internet pula agak susah nak dapat. Tak sangka pula ada rezeki nak berjumpa di sini.
Us.Zul belanja kami makan malam di kantin Malaysian Hall..makan nasi goreng ayam paprik dan milo panas. Tukang masak Malaysia tapi ada pekerja Indonesia sebab rata2 pelajar sedang exam, so kurang pekerja. Terimakasih ustaz Zul dan isterinya Puan Alia sebab belanja kami makan. Bila dah lama tak jumpa, panjanglah sembang sampai tak terasa malam semakin larut. Akhirnya kami berpisah dalam pukul 10 malam dengan janji nak ziarah ke rumah us Zul esok di Zamalik, kawasan delta yang dibangunkan di tebing Sg.Nil.
8 Jan 2012 (Ahad)
Hari ni selepas Asar, seperti yang dijanjikan Us. Zul datang menjemput kami dengan kereta baru yang dibeli terus dari Jepun melalui internet. Tiba di imarah Us.Zul, rupanya Us.Aswandi pun serentak tiba dengan kami. Us.Zul  dan us.Aswandi merupakan pegawai atashe di EME dan sudah hamper 2 tahun berkhidmat di sini. Us.Zul mengaji di Univ.Mu’tah, Jordan peringkat degree dahulu, sama zaman dengan kami. Manakala us.Aswandi pula pelajar Master di Univ.Jordan, juga sempat dengan kami awal2 kami sampai di Jordan untuk melanjutkan pengajian. Seorang lagi pegawai atashe iaitu ustazah Nor Zakiah juga sahabat Mama masa first degree dahulu. Sayangnya masih belum ada rezeki nak berjumpa ustazah Zakiah..takpelah, mungkin di lain hari.
Pertemuan dengan sahabat2 lama dan berkenalan dengan keluarga masing2 begitu menyeronokkan. Berbual dari satu topic ke satu topic, tak terasa masa begitu cepat berlalu. Puan Alia masak menu special malam ni, ayam panggang black pepper, mee hailam Sg.Besar dan bubur kacang. Ada Ali Café lagi, bukan main seronok lagi Baba menikmati Ali Cafenya.
Dari beranda rumah, terus dapat menikmati pemandangan sepanjang Sg.Nil ..rancangnya nak sewa bot menyusuri Sg.Nil bersama family Us.Zul..tapi memandangkan hari sudah larut malam dan udara luar sememangnya sangat sejuk, kami tangguhkan dulu niat nak berjaulah di Sg.Nil.
Malam tu Us,Zul hantar juga kami balik dengan kereta barunya walaupun kami kata nak naik teksi je..sampai depan pintu rumah lagi tu..terima kasih banyaklah buat Us.Zul sekeluarga yang meraikan kami bertamu di sini..Allah sahajalah yang membalas kebaikan kalian..dan semoga ukhuwwah tetap berpanjangan walaupun mungkin ada perbezaan..rasa hormat menghormati perlu diutamakan..
9 Jan 2012 (Isnin)
Alhamdulillah, masih diberi usia oleh Allah pada hari ini. Rancangnya akan berjaulan sekitar Kaherah lagi hari ini.  Mama buat sandwich telur buat bekalan sepanjang sehari perjalanan. Untuk sarapan, Baba beli nasi lemak dan roti canai dari gerai pelajar. Boleh tahan juga nasi lemaknya. Roti canai pula sangat lembut dan banyak lapis..sedap dari yang Mama buat nampaknya. Dah kenyang makan nasi lemak, roti canai pun Mama masuk bekas buat bekal juga.
Dalam perjalanan, kami diperkenalkan dengan kawasan perkuburan Mesir. Di atas perkuburan dibina rumah2 tanpa bumbung yang tersusun dan lebih kurang sama besarnya. Lot2 rumah ini dibeli oleh ketua2 keluarga dan disitulah nanti seluruh keluarganya akan disemadikan. Di bawah rumah2 ini ada bilik2 bawah tanah, biasanya 3 bilik yang akan menempatkan jenazah lelaki, perempuan dan kanak2.Sistem pengkebumian di sini tidak ditimbus dengan tanah, sebaliknya hanya diletakkan di dalam bilik2 ini dan setelah reput, tulang2 mereka akan di ketepikan dan diletakkan jenazah yang baru. Fatwa ulama’ mengharuskan cara tersebut memandangkan system pereputan akan berlaku dengan konsep yang sama dengan pengkebumian dalam  tanah. Kerajaan Malaysia juga ada membeli lot kubur untuk pelajar Malaysia. Dan dengar kabarnya, ramai juga pelajar yang meninggal dunia di bumi Mesir ini dan disemadikan disini. Allahu yarhamhum…
Di sebabkan kesesakan penduduk, ada antara kawasan perkuburan ini dijadikan penempatan di atasnya. Bukan sahaja rumah, bahkan dibina juga kedai2 dan bengkel membaiki motor dan kereta di atas perkuburan. Daripada sumber sahih, jumlah penduduk di Kaherah ini sahaja menyamai jumlah penduduk di Malaysia seluruhnya iaitu lebih kurang 28 juta penduduk.
Tiba di satu jejantas, kami berhenti sebentar. Rupa2nya, dibawah jejantas adalah Sg.Nil yang jadi sumber kehidupan di Mesir ini.Begitu luas sungainya dan panjang sekali. Punca Sg.Nil adalah dari beberapa buah Negara Eropah dan muaranya adalah di Mesir. Bagai tak percaya sungai sebesar ini boleh kering kontang sekurang2nya 3 kali sepanjang zaman sejarah manusia. Sekali semasa zaman Nabi Yusuf yang mana ianya kering disebabkan kemarau selama 7 tahun. Keduanya pada zaman Umar al-Khattab..kisahnya sebelum Mesir dibuka oleh sahabat Amru bin al-As, pemerintahan Rom ketika itu membuat ritual mengorbankan seorang wanita setiap tahun untuk dipersembahkan kepada Sg.Nil. Kepercayaan mereka agar airnya sentiasa mengalir dan memberi kehidupan kepada seluruh negara. Setelah Islam memerintah, sudah pastilah ritual itu dihentikan. Dengan izin Allah, air Sg.Nil kering. Amru menulis surat kepoada Khalifah Umar al-Khattab memberitahu keadaan yang berlaku. Setelah itu, Umar menulis surat kepada Sg.Nil, surat ringkas yang berbunyi: ‘Wahai Sg.Nil, sekiranya engkau mengalir kerana engkau mahu mengalir maka berhentilah, tetapi jika engkau mengalir kerana taat perintah Allah, maka mengalirlah..’ Maka surat itupun dicampakkan ke Sg.Nil, dengan izin Allah mengalirlah air Sg.Nil dengan makmurnya. Namun ia kering kali ketiga semasa zaman pemerintahan sultan al-Mustansir Billah, kerajaan Fatimiyyah…juga selama 7 tahun. Ketika itu tercetuslah satu azmah yang sangat dahsyat, tiada makanan dan keputusan air..kadar jenayah sangat tinggi…manusia berbunuhan sesama sendiri ..mereka makan apa sahaja untuk hidup termasuk memakan daging manusia. Dalam sehari tidak kurang seribu orang yang mati kebuluran….tak terbayang bagaimana dasyatnya keadaan manusia ketika itu..begitulah kekuasaan Allah…boleh memberi nikmat dan menariknya semula bila ia mengkehendaki…subhanallah…
Kami meneruskan perjalanan ke Piramid. Dari jauh kelihatan puncak2 piramid tersergam tinggi dan sphinx atau Abul Haul..Kalau dulu masa Mama sampai di sini, hanya ada kepala singa..tapi sekarang mereka sudah korek tanah sekeliling sphinx dan  Nampak seluruh badan singa tu..piramid yang besar begini dibina dengan kerahan keringat dan darah rakyat Mesir, tujuannya hanya untuk menempatkan mayat2 raja supaya bagi mereka kekal dan tak di makan tanah..masya Allah, hebat pada zahirnya tapi hakikatnya nerakalah tempat mereka yang abadi. Setiap bata yang disusun itu beratnya tak kurang 10 tan dan di bawa jauh dari Aswan. Tak terkiralah berapa ramai buruh yang terkorban semata2 nak mencapai hasrat raja2 yang ingin ‘hidup’ abadi…
Destinasi seterusnya, kami ke makam Imam Shafi’e rahimahullah. Bertafakur sejenak di sisi makamnya sambil menghadiahkan al-Fatehah. Begitu hebatnya jasa dan sumbanganmu untuk ummah ini, semoga tempatmu bersama kekasih Allah. Berhampiran makamnya adalah makam guru dan muqri’ kepada Imam Shafi’e iaitu Imam al-Waki’…dan satu tempat lagi yang tak pernah tahu sebelum ni, kami dibawa melihat kesan tapak kaki Rahulullah s.a.w yang disembunyikan dibawah karpet masjid. Rasulullah memang tak pernah sampai ke Mesir, tetapi panglima perang Salehuddin al-Ayyubi telah mengambil kesan 2  tapak kaki Rasul yang tertera di atas batu berwarna merah coklat, sebelah diletakkan di sini dan sebelah lagi di letakkan di sebuah masjid di Tanta. Wallahu a’lam.
Kami juga singgah di masjid Amru bin al As, yang merupakan masjid pertama dibina setelah Amru membuka Mesir. Kami juga menziarahi makam Hassan al-Banna, seorang pejuang Islam yang syahid ditembusi peluru taghut, Allah yarhamhu..
Dalam perjalanan pulang, Baba belikan kami makanan Arab. Ta’miyyah bilbaidh (roti ‘ish yang diisi falafel, telur rebus dan salad) dan satu njenis lagi laham bilbatata ( roti ‘ish yang diisi dengan daging hancur dan kentang goreng) Airnya pula jus manga dan air tebu…waahhh..bestnya dapat air tebu..segar ampai ke tulang sum sum..hehe…
Balik rumah, dah hamper Maghrib…masing2 keletihan. Tak lama selepas solat Isyak, masing2 sudah tenggelam dalam mimpi…mimpi apa agaknya ye? Mimpi scuba diving dalam Sg.Nil kot..!
12 Jan 2012 (Khamis)
Salam pagi Khamis…pagi ni Mama buat tempe goreng salut tepung..sukaa sangat sebab dapat makan tempe..! Baba baru beli semalam di kedai Indonesia, sepeket berharga 2.5 junaih..oklah dengan saiznya..kalau 2x saiz ni di Jordan berharga 2 JD, sama dengan 16 junaih...sementara  di Mesir ni bolehlah buat macam kat kampong sendiri..tempe,tempe dan tempe..Mama dah siap bawa ketumbar dan jintan blender sebagai campuran tepung tempe..bestnya..!
Dalam jam 11 pagi, kami bersiap2 keluar…kereta sewa sudah menunggu di luar..nak ke mana kita ye..? Haa..kita nak ke rumah Pak Dutalah..kebetulannya Datin Zaharah isteri Datuk Duta Us.Fakhruddin adalah ustazah Baba semasa di KISAS dahulu..dan hubungan tu walaupun dah lama berpisah masih tetap rapat sebab Baba ni memang jenis ingat dan hormat guru..selalu menziarahi dan bertanya kabar..malah semasa kami bertugas di Sabah dahulu pun, ustazah Zaharah dan Ustaz pernah menziarahi kami..alhamdulillah, rezeki mereka murah dan sekarang dah pun diberi amanah besar menjadi Duta di Mesir ini..hari ni kami datang sebagi tetamu ustazah, kalau tidak tak layak rasanya kami nak bertandang ke rumah duta ni sebab difahamkan segala lawatan mesti melalui PA Datuk..official guests..
Tiba sahaja di banglo kedutaan, kami disambut mesra oleh seorang lelaki Arab, Mustafa namanya.Beliau adalah salah seorang pekerja di banglo besar 4 tingkat ini..ramai lagi pekerja di sini termasuk tukang kebun dan pengawal keselamatan.
Bersembang dengan ustazah, banyak juga topik yang dibincangkan. Soal keluarga, kerjaya dan isu2 semasa…Datuk pula ada meeting di sebuah hotel, petang nanti baru pulang. Ustazah masak banyak juga menu untuk makan tengahari, macam nak sambut ramai tetamu pulak..kesian pulak ustazah masak beria semata2 nak sambut kami. Syukran ustazah..
Dalam rumah ni, hanya 2 dari 5 anak ustazah yang tinggal…Erfan dan Daniel. Yang lain2 ada yang dah berkeluarga dan ada yang masih di university. Alhamdulillah, anak2 ustazah semua Berjaya dengan cemerlang. Rupa2nya anak ketiga ustazah dah bertunang dengan seorang student JUST di Irbid, dan akan melangsungkan perkahwinan mereka Julai nanti. Mabruk adik Izzati, mudah2an apa yang dirancang akan berjalan dengan lancar biiznillah…
Rancangnya selepas Datuk balik nak sembang sekejap dan beransur..rupanya panjang lagi sembangnya..lepas Maghrib pula ustazah masak mee goreng mamak pula..subhanallah..sedap lagi tu..Baba pula memang peminat mee mamak..lepas makan dan minum2..bersambung lagi ke topik2 semasa..walaupun ada juga perbezaan pandangan, namun rasa hormat dan keterbukaan ilmu perlu ada.. dan akhirnya lepas Isyak barulah kami beransur..sama2 tunggu teksi dengan datuk di luar pintu gerbang, kami pun pulanglah dengan  sebuah teksi bertujuh beranak ke Hayyil Aasyir..dalam 40 minit perjalanan dah sampai depan rumah..alhamdulillah..
Tak lama lepas tu Baba pulak cadang nak pergi shopping di Carrefour..walaupun penat tapi rasa nak ikut juga..so kami pun keluar lagi sekali dan hanya bawa Nisreen sahaja..bukan main jauh rupanya Carrefour paling dekat, hampir dah nak sampai mataar..aduhai..tambang teksi pun sampai 22 junaih..dok bayangkan macam2 ada dan harga ok di sini, rupanya barang tak banyak pilihan dan harga sama sahaja macam di luar..mungkin sebab baru 2 bulan beroperasi. Kesian Baba, coffe Ali Café yang diidam2kan pun tak ada…beli nescaffe biasa ajelah..cuba juga beli zabadi(laban)..bila anak2 makan rupanya zabadi di sini sangatlah sedap, tak masam pun..si Amjad siap cukai2 lagi orang punya sebab tak puas makan..

Rabu, 11 Januari 2012

Jurnal Kembara 30 Hari Di Bumi Kinanah

5 Jan 2012 ( Khamis)


Bertolak ke Mataar Alia 7.15 pagi. Tiba di mataar, penerbangan Egypt Air, boarding, berebut2 dengan Arab, delay penerbangan untuk 30 minit. Dalam flight ok, selesa, dapat meal tengahari roti bun, senyorah, dawali, sad n jus epal. Sejurus selepas Amjad habiskan jus orennya, uweek..aduss..muntah pulak anak bertuah ni..dengan pra sarana yang terhad, Mama bersihkan muntah Amjad..mujurlah dapat selesaikan masalah.

Tiba di mataar Egypt, kami disambut mesra 2 sahabat alam maya. Kami bergerak ke Kaherah menaiki coaster, sangat bersyukur tiba dengan selamat dan menikmati pemandangan ala2 Malaysia sepanjang airport - Kaherah..segar, bersih dan cantik.

Tiba di rumah sewa, pemandangan dah bertukar seperti di Irbid, Jordan..banyak sampah dan berhabuk. Ditambah satu pemandangan lagi ..jerebu. Masuk ke rumah sewa, waaah! Cantik, selesa dan lapang. Bersyukur dapat rumah elok dengan harga berpatutan. Gas pula tak guna ustuwanah (tong), tapi guna saluran paip terus ke rumah. Lega banyak sebab tak perlu nak beratur panjang semata2 nak dapatkan gas..sekarang di Mesir sedang konflik gas, semua berebut2 nak dapatkan gas dan harga melambung tinggi.

Hari pertama Baba dah teroka pasar, apalagi..belilah lauk2 yang tak dapat makan di Jordan..beli ikan tilapia segar, sotong dan udang..semangat betul anak2 menyiang udang. Masak apa hari ni..biasa2 je, nasi panas, udang goreng tepung, ikan tilapia goreng berempah sayur bayam tumis dan sambal sotong..makan sampai menjilat jari..!

6 Jan 2012 (Jumaat)

Hari ni Mama goreng cekodok buat sarapan. Taklah sesedap selalu, sebab tak cukup bahan dan peralatan...tapi alhamdulillah..habis jugaklah hingga ke cekodok yang terakhir..

Tiba2 sinki pula buat masalah..sumbat tak mahu turun air. Terpaksalah Mama cedok air sinki dan buang ikut tingkap. Mujurlah rumah bawah, taklah kacau orang..kalau tak rasanya dah kena jerit dek Arab ...lebih serius lagi, bila guna sinki bilik air, naik pulak air di sinki dapur..jadi masalah bukan pada saluran sinki tapi paip bawah yang bermasalah. Masalah lamalah maknanya tu..Baba pun call tuan rumah untuk baiki  saluran yang tersumbat..

Tengahari  Mama masak baki ikan dan udang semalam..settle untuk hari ni..tapi agak susah juga proses masak memasak memandangkan periuk hanya ada satu..itupun comel banget..kuali pula ada satu..orang kata tefal kat Mesir ni agak murah sebab kilang ada kat sini..so, fikir2 alang2 nak beli baiklah beli awal2...boleh guna terus untuk masak di sini..senang sikit urusan memasak.Besen dan penapis pun langsung tiada..Mama pun buat kraftangan  guna beg plastik, kasi lubang2 dengan garfu, pastu gantung bagi tos..oklah juga sebab dah terpaksa kan..cuma jenuhlah sikit kerjanya menyebabkan Mama minta juga Baba belikan besen dan penapis sebenar..

So, lepas asar Mama dan Baba bersama Iman dan Nuha pun keluar mencari periuk tefal dan lain2nya di Supermarket Lu'lu (permata). Shopping di Lu'lu dapatlah barang yang dicari, 2 periuk, 1 kuali, 1 set bekas plastik, 1 cawan penyukat, dan 2 loyang kek bentuk hati yang comel..1 untuk Mama dan 1 untuk acik Abidah yang pesan nak loyang kek..

Rabu, 4 Januari 2012

Bercuti Ke Bumi Kinanah

Salam seIndah Mawaddah..
Jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi..semua anak2 sedang enak dibuai mimpi tika ini..Baba pun dah landing2..Mama aje yang masih berjaga..takut rasanya nak tidur sebab esok pagi2 lepas subuh dah kena bersiap untuk bertolak ke Mataar Alia (airport Jordan)...destinasi percutian kali ini jika diizinkan Allah akan ke Mesir atau dikenali juga dengan Bumi Kinanah...sempat jugalah Mama menambah entri dinihari ni sementara menunggu Subuh berkumandang..

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama Mama akan menziarahi Mesir, sudah masuk kali ketiga termasuk percutian kali ini..Baba pun sudah pernah ke sana..tapi sengaja memilih destinasi bersejarah ini untuk menyampaikan anak2 menjelajahi bumi anbia' yang penuh kisah dan tauladan itu. Dan kali ini kami sekeluarga akan menetap di sana sebulan lamanya jika diizinkan Allah..

Alhamdulillah, seorang sahabat di sana, ustaz Firdaus telah pun mencarikan sebuah rumah untuk kediaman kami sepanjang berada di sana. Berdebar bercampur tak sabar untuk memulakan perjalanan..anak2 pun begitu juga..berdebar sebab kabarnya negara tersebut masih bergolak arus politiknya..masih berlaku kekerasan tentera terhadap rakyat marhainnya..walaupun pimpinan diktatornya sudah bernoktah, pihak tentera pula menunjuk kuasa..rakyat juga yang tersepit dan menjadi mangsa..semoga Allah memberi kemenangan kepada yang benar dan mengembalikan pemerintahan kepada rakyat Mesir sendiri. Dan semoga juga percutian kami selama di sana nanti dipermudahkan Allah dan dihindari dari bahaya dan kesusahan.

Esok Mama sekeluarga akan berangkat seawal 6.30 pagi menaiki van Abu Qutaibah..doakanlah agar perjalanan kami selamat pergi dan balik..Di sana nanti akan Mama catatkan jurnal perjalanan ke tempat2 menarik dan bersejarah, dan akan Mama kongsikan di dalam entri2 seterusnya..dan sebelum memulakan perjalanan, kenalah betulkan niat agar langkah2 seterusnya tidak lari dari mengharapkan mardhaatillah...kerana Allah menyuruh kita berjalan dan melihat dunia, agar kita lebih menginsafi keajaiban ciptaan Allah, dan melihat sendiri hujung kehidupan kaum2 yang engkar Allah dan Rasul2nya..semoga perjalanan ini akan menambahkan lagi keimanan dan keyakinan kepada Yang Maha Hebat..insya Allah..

Jumpa lagi di saaana..!

Ahad, 1 Januari 2012

Roti dan Roti

Salam sayang salam sedingin salju dari bumi Jordan..
Semoga semuanya baik2 sahaja menjelang tahun baru 2012 ni...azam baru tahun ni nak berdiet, tapi hari pertama dah fail..azam lagi untuk dicuba esok hari..

Entri kali ni Mama nak kongsikan resepi Roti Burger Ros Jintanmanis yang Mama dah try agaknya dekat 10 kali..walaupun bahan2 di Jordan ni tak cukup, takde tepung roti atau hi-protein, takde bread softener, bread improver..tapi semangat nak meroti tu meluap2 bila bertandang ke blog2 masakan yang hebat2 tu..Azlita Masam Manis, Cik Mat Gebu, Yatie Sinar Kehidupanku, Dapur Maadiha, Hasue dan ramai lagi..nampak kejadian roti2 yang dipaparkan semua jelita2 dan menggiurkan...


Roti loaf..

Doh Roti Burger ni Mama pelbagaikan rupanya menjadi roti pelbagai rupa..dohnya sama je. Mama jadikan roti loaf, roti cheese, roti sosej, roti bun kaya, roti za'tar (oregano), garlic rolls dan tuna rolls..kandungan butternya pulak adakalanya Mama ganti dengan minyak zaitun...dan rasanya lebih lembut kot di samping mengambil keberkatannya..


Garlic rolls versi Mama..


Lalu bermulalah musim meroti di rumah Mama nih, buat satu adunan pasti tak cukup sebab pelanggan2 di rumah ni sedara mara piranha belaka..apatah lagi bila sejuk2 begini..perut pun asyik meminta2..biasanya memang Mama akan buat 2 adunan sekaligus dengan breadmaker tangan 10 jari nih..aduss..lengus juga memesrakan adunannya.. resepi ni Mama cedok dari blog Yatie Sinar Kehidupanku..minta izin Kak Yatie untuk kopipes resepinya di sini ye..


Resepi Roti Burger

Resepi asal : Ros Jintanmanis
  • 250 gram tepung high protein/ tepung roti
  • 50 gram tepung gandum
  • 2 sudu besar gula
  • 1 sudu kecil garam
  • 2 besar tepung susu
  • 1 ½ sudu teh yis
  • 1 biji telur (kecil) - (tinggalkan sdkit utk gliss pd roti)
  • 2 sudu besar marjerin atau mentega
  • 100 ml susu segar
  • 60 ml air suam(saya tambah water roux 2 sb dan kurangkan sedikit air

Untuk Gliss
  • baki telur tadi+1 sudu kecil susu segar+beberapa titik madu ( kilat nnt roti tu)
Cara-cara
  1. Campurkan kesemua bahan kecuali mentega dan uli sehingga menjadi doh. ( Jika Ada Bread Maker masukkan semua bahan dan pilih menu Dough dan tekan ON je) tunggu sampai siap.
  2. Kemudian masukkan mentega dan uli lagi sehingga doh menjadi licin dan lembut. Perap doh selama 1 jam.
  3. Kalau takde BM, bolah ikut cara saya ni, Tips untuk dapat doh yang lembut, ambil plastic bersih dah letakkkan doh di dalam plastic tu, ramas-ramas beberapa minit, lebih kurang 5 hingga 10 minit, keluarkan dan uli semula dalam bekas adunan, anda akan dapat doh yang lembut
  4. Selepas doh diperap, uli roti sekali lagi dan bahagikan doh mengikut besar yang anda suka. *hana tambah:Jika ingin wat roti burger, bulatkan seperti bun then tekan sedikit agar sedikit leper dr bun biasa.
  5. Atur roti yang telah disediakan kedalam loyang empat persegi yang telah dilenser dengan mentega . Perap sehingga roti naik dua kali ganda.
  6. Panaskan ketuhar pada suhu 180 darjah. Sapukan roti dengan bancuhan telur dan tabur bijan di atas doh roti burger , akhir sekali bakar selama 18 ke 20 minit atau sehingga kekuningan. Bila roti telah masak keluarkan dari oven dan sapukan dengan mentega cair.
- tips supaya bijan melekat pada roti, mula-mula gliss roti dengan telur dan tabur bijan, masa baki bakaran ade lebih kurang 10 minit, buka pintu oven dan spray roti tadi dengan air, InsyaAllah bijan tu akan lekat elok je atas roti nanti.

WATER ROUX: (menggunakan kaedah 1:5 .. 1 utk tepung, 5 utk air.. )
50gm tepung gandum
250ml air
  1. Masukkan dlm kuali/pan dan panaskan dgn api sederhana.
  2. Hendaklah sentiasa dikacau supaya tak berketul.
  3. Kacau hingga pekat dan padamkan api ( dlm 2 minit jer)
  4. Bila sejuk masukkan dlm bekas bertutup dan simpan dlm peti ais sehingga nak digunakan.

    
    Roti cheese beroregano..
    

    Selamat meroti..dijamin halal tanpa was2..!

Sabtu, 31 Disember 2011

Selamat tinggal 2011, ahlen 2012

Kembara hidup 2011 sudah sampai di penghujungnya..meninggalkan berbagai kenangan suka duka kehidupan di perantauan..perginya ia bermakna perginya setahun dari baki umur yang ada..bila muhasabah diri, terasa gentarnya hati untuk bertemu Allah. Umur yang bersisa pasti tak selama mana, bekalan masih terlalu kurang. Insaflah wahai diri..berusahalah untuk menjadi lebih baik...tingkatkanlah potensi diri dari pelbagai aspek, rohani, intelek, fizikal dan emosi..Semoga hari2 yang akan datang lebih meriah dengan usaha2 penambahbaikan..teringat pesanan bapak guru dalam filem Indonesia Laskar Pelangi..hiduplah dengan memberi sebanyak2nya, dan bukan meminta sebanyak2nya..dalam sungguh pengertiannya.

Semalam 30 Dis adalah hari ulangtahun acik Abidah..Selamat Hari Ulangtahun acik Abidah, semoga Allah sentiasa melimpahkan nikmat dan barakahnya pada acik sekeluarga..terima kasih banyak kerana menjadi jiran yang sangat baik untuk kami..sempat juga Mama ikut meraikan hari istimewa itu bersama acik Abidah dan bergambar kenangan bersama. Maklumlah, tahun ini tahun terakhir kami dapat menikmati kehidupan berjiran di Jordan ni..tahun depan kalau panjang umur Mama sekeluarga sudah berada di Malaysia..sudah berjauhan...dan mungkin sukar untuk mengecapi semula kemesraan sebegini apatah lagi ditambah dengan kesibukan tugas masing2 ....(sedih2...)



Acik Bidah potong kek besday..


Apa2pun Mama sangat bersyukur pada Allah dengan nikmat ukhuwwah di bumi anbia' ini..dapat jiran2 yang baik, sahabat2 yang sentiasa prihatin antara satu sama lain, adik2 yang sentiasa membantu..menyebabkan kehidupan kami sepanjang 3 tahun di Jordan ini begitu bermakna dan sentiasa dipermudahkan Allah...alhamdulillah...


Semoga ukhuwwah berkekalan...
Sebenarnya, pada awal pembelajaran di sini memang Mama rasa tak berkeyakinan untuk meneruskan MA di sini..mampukah Mama mengharungi dunia pengajian bersama 5 orang anak, terutamanya Amjad yang masih baby ketika itu..sudahlah umur sudah hampir setengah abad..dah lama tinhggalkan zaman pengajian. Dalam waktu yang sama Baba juga sama2 belajar peringkat Phd. Ditambah pula dengan sistem pengajian yang sukar dan mencabar...pensyarah2 yang adakalanya begitu strict...Namun 3 tahun itu kini sudah berlalu, dan Mama telah pun berjaya menggenggam sijil kejayaan itu bulan Ogos yang 2011 yang lau..terasa benar bantuan Allah pada saat kita mendambakan, sehingga segalanya berjalan dengan baik dan lancar..baik Baba mahupun Mama, juga anak2 yang sedang  belajar di Madrasah Islamiyyah telah menunjukkan penguasaan yang baik dalam bahasa Arab..syukur beribu kali  Mama rafa'kan pada Maha Pemberi...Mudah2an nikmat yang diterima akan membuahkan hasil yang baik untuk disumbangkan pada agama dan umat Islam keseluruhannya.

Terima kasih  buat Baba yang sanggup susah senang bersama, sanggup bergilir2 membuat kerja2 rumah dan menjaga anak2 demi memberi laluan buat Mama ke kelas dan mengulangkaji pelajaran. Baba yang sanggup jadi tukang urut Mama bila Mama sakit kaki..dan sentiasa memberi sokongan dan dorongan bila Mama rasa down...tanpa Baba macamanalah agaknya Mama nak meneruskan kehidupan...semoga Baba terus sihat dan panjang umur agar Mama dapat terus bernaung di bawah kasih dan cintanya..sama2 mengharungi kehidupan membesarkan anak2 agar menjadi 'orang' yang bermanfaat pada orang lain..terima kasih juga pada anak2 Mama yang seringkali membantu dan meringankan kerja2 Mama..sumbangan kalian sangat Mama hargai...



Bila diimbas kembali, banyak sungguh hikmat 3 tahun mengembara di tanah anbia' ini pada kami..semangat team work mula subur kerana segalanya perlu dilakukan tanpa sentuhan dan campur tangan bibik2...dan balik Malaysia nanti pun biarlah ia terus subur...kerana semuanya yang dilakukan secara bersama adalah kejayaan yang indah untuk dikongsikan...


Terasa begitu cepatnya masa berlalu...hanya tinggal 6 bulan lebih sahaja kami berpeluang menghirup angin sejuk di bumi Irbid penuh nostalgia ini...sudah terasa kerinduan yang bakal dirasai setelah kami meninggalkan bumi barakah ini..Lambaian pepohonan zaitun yang sungguh mendamaikan...semuanya akan ditinggalkan. Tempoh yang masih tinggal ini pasti akan begitu bernilai bagi kami sekeluarga..insya Allah, kami akan menikmati sepenuhnya keberadaan dibumi Syam selagi Allah mengizinkan...


Rabu, 28 Disember 2011

Peristiwa Menyayat Hati - Nuha dan Jarumnya

Suhu menunjukkan 9 darjah celcius..aduss..sejuknya menggigit2 rasanya..kalau duduk diam melayan komputer dalam bilik ni memang terasa macam duduk dlm thallajah (icebox) sebab takde subah. Sebenarnya entri ni Mama dah mula tulis 2 hari lepas, tapi tak sempat2 lagi nak menamatkan kisahnya. Ok, malam ni Mama cuba siapkan cerita yang menyayat hati ni..jeng.. jeng.. jeng..

Kisah bermula lebih kurang sebulan yang lalu, di mana anak Mama yang seorang ni iaitu Nuha Balqees telah terpijak jarum di kakinya. Cepat2 dia datang kat Mama buat report sambil menyeringai sakit. Mama tengok ada jarum tercucuk kat kakinya tu, Mama pun cepat2 cabut dan picit kuat bagi darah keluar..manalah tahu ada kuman ke bakteria ke..lepas tu Mama selaku doktor tak bertauliah ni sapulah ubat kuning untuk bunuh kuman tu..Si Nuha ni pun dah tak menyeringai lagi, sebaliknya tersengih2 macam kerang busuk..lalu meneruskan kehidupan seperti biasa.




Budak tudung hijau nilah Nuha Kocor

Seminggu berlalu..2 minggu berlalu..dan sebulan berlalu..Mama pun dah lupa kisah jarum  tu..Nuha ni pun aktif je seperti biasa berlari, melompat dan bergelut dengan Iman dan Amjad..setiap hari kalau takde aktiviti bergelut maka tidak sahla hari itu...sehinggalah minggu lepas, dia mengadu tapak kakinya sakit. Mama pun terus cek..ada macam bernanah tempat yang tercucuk jarum hari tu.  Bila pegang2 keras pulak semacam..ketuat ke? Hati Mama mengagak..cuba picit..waaaa..menjerit kuat si Nuhanya..penakut betul anak yang sorang ni..

Malam tu cuba buat operasi...tapi cukup susah nak deal dengan patient penakut..baru pegang dah menjerit..belum picit lagi..Mama tak berjaya, Baba pulak jadi doktor..wah, bukat menjerit lagi..meraung2 macam orang kena potong hidup2..entah2 adik2 duduk tingkat paling atas pun boleh dengar..Hairan betul budak bertuah ni, nampak gayanya macam hero sangat..rupanya kocor..(pengecut dalam bahasa jawa).

Malam berikutnya kakak2 nya pulak mencuba dan mencuba..lagila bersilat budak Nuha ni..tak larat nak dengar bingitnya dia menjerit2 tu, Mama pun kata kat dia, kalau takut sangat, Nuha cucuk sendiri dan picit sendiri bagi keluar apa2 yang ada dalam tu..Mau pulak dia dengar cadangan tu, dia pun cucuk dan cuba tekan..tapi tak keluar apa2 pun..daging keras aje yang ada kat permukaan kulit..tapi warna keputihan macam nanah..Last2 dia pun give up, dia kata kat Mama, kalau Nuha dah tidur malam ni..Mama cuba buat kaki Nuha..Mama pun ok ajelah..

Selepas dah tengah malam Mama pun on call gi bilik Nuha..pelan2 tarik kaki dia..baru je sentuh tempat luka terus dia tarik balik kaki dan mengigau..sakit2.. banyak kali jugaklah tarik menarik..akhirnya Mama pegang kuat kaki dia dan potong bahagian yang keras tu..alhamdulillah, baru  dapat keluarkan nanah..bila dah keluar rupanya ada lubang dan nampak macam ada dot hitam dalam lubang tu..cuba tekan2 sambil pegang kuat kaki dia yang meronta2 tu..terkeluar sikit benda hitam tu..aik..apa benda ni...? Mama panggil Baba suruh tarik benda hitam tu sambil Mama tekan kuat2...bila tarik je..subhanallah tu dia..jarum karat panjang 1 inci lebih!! Mengucap panjang Mama dan Baba..macamana jarum sepanjang ini terbenam dalam kaki si Nuha ni sebulan lamanya..dan dia boleh selamba aje...ish! Ish! Ish!...






Lubang kecil tapi dalam..
 
Terbangun dan terpana si Nuha bila jarum tu berjaya dikeluarkan...bersyukurnya rasanya Mama bila dah settle..rupa2nya jarum yang tercucuk hari tu panjang bebenor dan separuhnya patah di dalam...inilah dikatakan duri dalam daging...hehe..Mama pun sapu ubat antikuman banyak2...takut juga kena kancing gigi ke atau apa2 masalah lain..tapi tengok tuan badannya aktif je semacam..mudah2an dihindarkan dari apa2 yang merbahaya..Aminn..


Jarum panjang lebih satu inci berjaya dikeluarkan..
( Maaflah banyak2 ye..entri kali ni memaparkan photo kakilah pulak..)

Selasa, 27 Disember 2011

Supermoist Eggless Chocolate Cake

Salam ceria salam dari jiwa..

Bermula minggu lepas sehinggalah minggu hadapan merupakan minggu peperiksaan akhir anak2 untuk semestar ini. Namun dalam sibuk2 mengulangkaji, sempat lagi si Nisreen minta dibuatkan kek harijadi untuk seorang muallimahnya (guru), Mama Yamamah. Di sekolah mereka semua guru perempuan mereka panggil Mama. Nampak mesra gitu. Muallimah Yamamah ni mengajar juga si Kak Long. Mulanya malas juga Mama nak sediakan, tapi melihat kepada anak sorang ni yang beria2 sangat nak celebrate muallimahnya, rasa tak sampai hati pula..dalam hati rasa bersyukur sebab Allah beri guru yang baik pada mereka..ikhlas mengajar anak didik sampai anak didiknya sangat sayang padanya dan selalu ingin menuruti nasihatnya..alhamdulillah.

So Mama buatlah sebiji kek coklat yang dah kerap juga Mama buat sebelum ni..namanya cukuplah panjang, Supermoist Egless Chocolate Cake. Serius Mama kata, kek ni sangat senang membuatnya dan rasanya cukup best..kurang kolesterol..sangat elok untuk seisi keluarga. Selepas bertemu jodoh dengan resepi ni, Mama tak buat dah kek coklat lain..terimakasih banyak2 pada tuan resepi Dayang jack yang baik hati berkongsi ilmu yang amat bermanfaat nih... blogger2 masakan yang hebat2 pun ramai dah test resepi ni dan ramai kata best.. cumanya sebab Mama ni chef kampung je, so kejadian kek Mama taklah sejelita rupa paras kek2 mereka yang hebat tuh...ala kulli hal ( however), puas hatilah kan..setakat nak melayan pelanggan yang ada kat rumah ni..

Untuk kek ni biasanya Mama akan buat 2 adunan terus untuk mendapatkan kek yang agak besar. Tapi kalau baru nak try eloklah buat satu adunan dulu..dan biasanya Mama memang takde stok gula perang, so Mama guna gula putih sahaja, kurangkan sukatannya kepada 3/4 cawan. Gula perang ni kurang manis, tapi lebih moist bila guna untuk kek coklat. Minta izin cik Dayang ye untuk kopipes resepinya di sini..Kek ni kalau tak letak topping pun takpe, sebab dah lembut teksturnya..

Resepi Supermoist Eggless Chocolate Cake
Sumber : My Resipi
Resepi asal : Dayang Jack


Inilah rupa kek yang sememeh, deco pagi2 sebelum anak pergi sekolah..

Bahan-bahan ( loyang 5-6 inci )

  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 sudu kecil baking powder
  • 1/2 sudu kecil soda bikarbonat
  • 1/2 cawan serbuk koko (DJ guna Cap Kijang)
  • 2 sudu besar susu tepung
  • 1 1/4 cawan air sejuk (dari peti ais)
  • 1 cawan gula perang
  • 1 sudu kecil esen vanilla
  • 1/2 sudu kecil coffee emulco atau chocolate emulco
  • secubit garam
  • 1/2 cawan minyak masak sayuran atau minyak jagung
  • 1 sudu kecil cuka atau jus lemon

Cara-cara

  1. Panaskan oven pada suhu 160C. Sediakan loyang kek. Griskan dengan mentega. Jika ingin menggunakan muffin cup pun boleh juga.
  2. Ayakkan tepung bersama baking powder, soda bikarbonat dan serbuk koko di dalam bekas besar. Masukkan tepung susu, garam dan gula perang. Kemudian dikacau rata-rata.
  3. Masukkan air sejuk, minyak masak, esen vanila dan coffee emulco/chocolate emulco. Kacau perlahan-lahan dengan whisk. Pastikan adunan tidak berketul.
  4. Akhir sekali masukkan cuka atau jus lemon. Terus dikacau serta merta sehingga sebati.
  5. Tuangkan adunan ke dalam loyang dan bakar selama 30-40 minit atau hingga masak.
  6. Sejukkan kek setelah masak. Boleh juga dihiaskan dengan topping kegemaran.
    Tak sempat nak menoppingla..


    Yang ni pula kak Long punya versi..obses dengan coklat..letak serbuk 'winner' lagi tuh..