AlhamdulilLah, dalam kesejukan mencecah 4 darjah celcius Mama mula membuka bicara melalui blog baru ini. Bagai budak baru mengenal alifbata, terkebil-kebil mata Mama meneliti setiap arahan yang tertera.
dari kiri Nuha Balqees, Khaulah Azwar, Amjad Anas Ubaidillah, Nisreen Humaira' dan Iman Syaima' |
Sebenarnya dah lama Mama teringin nak berblog, nak menggilap semula minat menulis yang berputik sejak di tingkatan 2 dahulu..namun niat tu terpendam begitu sahaja dengan kesibukan dan tanggungjawab seharian.Hanya setelah Mama menamatkan pengajian MA pada fasal saifi lepas, terasa macam ada senggang waktu yang boleh dimanfaatkan..lalu awal Muharram 1433H ni Mama bertekad memulakan langkah sebagai blogger. Walaupun terkial-kial pada permulaan ini, Mama yakin semua perkara boleh dipelajari jika kita bersungguh-sungguh.
Mengapa Seindah Mawaddah?
Sejak berkahwin dengan Baba, Mama memang teruja dengan kalimah 'Mawaddah'. Perkataan Arab yang bermaksud cinta dan kasih sayang. Mama namakan rumah di Malaysia sebagai 'Teratak Mawaddah'. Bila berhijrah ke Jordan tiga tahun lepas untuk menyambung pengajian pun, Mama masih bawa nama itu dan menamakan rumah kita dengan 'Bait Mawaddah'..lalu blog inipun masih Mawaddah..cinta ke mana sahaja dan sampai bila-bila. Mungkin itu harapan dan doa Mama, sebagai isteri, sebagai ibu dan sebagai guru..agar kasih sayang itu mekar selamanya. Kasih sayang yang bertunjangkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, dan nurnya memancar menerangi seluruh kehidupan..Seindah Mawaddah..
Luruskan Niat..
Setiap amalan itu bergantung kepada niat....jadi Mama kenalah perbetulkan niat terlebih dahulu sebelum memulakan blog ini. Semoga dengan niat mengharapkan keredhaan Allah, segala masa, tenaga dan buah fikiran yang Mama nukilkan di sini dihisab sebagai amalan soleh, dan bukan sia-sia atau mengundang dosa tanpa sedar. Mama terfikir juga..alangkah rugi jika perjalanan hidup di Jordan ini yang masih berbaki lebih kurang tujuh bulan sebelum Baba menamatkan Phd nya, berlalu begitu sahaja..sedangkan setiap hari ada sahaja cerita2 menarik dan peristiwa2 penting yang perlu diabadikan. Sesungguhnya fasa hidup yang berlangsung selama 3 tahun setengah di sini memberi kenangan yang cukup manis dan berharga buat Mama sekeluarga. Mudah-mudahan coretan dan titipan yang Mama tinggalkan di sini boleh dijadikan panduan dan inspirasi kepada orang lain, sekurang2nya buat putera puteri Mama yang tersayang, sama ada perkongsian ilmu, atau pengalaman juga resepi2 masakan mudah. Biarlah ia menjadi amal jariah selepas Mama pergi nanti...
Semoga pada tahun baru kali ini kita mampu berubah untuk menjadi lebih baik, dan meningkatkan amalan2 soleh sebagai bekalan menuju hari yang pasti..!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan